Berita: Hujan sekejap-sekejap dijangka berlaku di Pantai Timur, Perlis dan Kedah

Berita Harian, 28 Dec 2012

KUALA LUMPUR: Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka melanda Pantai Timur, Kedah dan Perlis bermula Ahad ini hingga 31 Disember berikutan musim monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga awal Mac 2013.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, daerah-daerah yang terlibat di Pantai Timur termasuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang di Kelantan; Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu; serta daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

Di Perlis pula, daerah-daerah yang mengalami hujan lebat termasuk di Padang Besar, Kangar dan Arau serta daerah Baling, Sik dan Padang Terap di Kedah.

Menurut kenyataan itu, keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah. – BERNAMA