El Niño dnn La Niña merupakan fenomena fasa berlawanan putaran iklim semula jadi yang dikenali sebagai Putaran Selatan El-Nino (El Nino-Southern Oscillation – ENSO). Fenomena lautan-atmosfera ini merujuk kepada perubahan besar kepada suhu permukaan laut merintangi timur pasifik tropika. “El Nino” dalam bahasa Sepanyol bermakna “anak lelaki” manakala “La Nina” pula bermakna “anak perempuan”.

Apakah El Niño?

Setiap dua ke tujuh tahun, arus laut yang panas menggantikan arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai barat Peru, Amerika Selatan. Fenomena lautan yang ini disebut sebagai El Niño. Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang lebih luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan peristiwa cuaca luar biasa yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan. Di Asia Tenggara, Indonesia dan Australia, berlaku keadaan cuaca lebih kering dari normal sementara di Pasifik tengah dan timur berhampiran khatulistiwa kebiasaannya mengalami keadaan lembap.

Secara lazimnya, El Niño berlaku untuk tempoh 6 hingga 18 bulan. Biasanya ia terbentuk pada pertengahan tahun, berada di kemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah menjelang awal tahun berikutnya. El Niño yang mempunyai keamatan yang sama tidak semestinya menghasilkan corak iklim yang sama.

Apakah perubahan iklim semasa El Niño?

Di kawasan tropika, aktiviti-aktiviti ribut petir berpindah dari Pasifik barat ke kawasan Pasifik tengah dan timur, menghasilkan keadaan kering yang luar biasa di Malaysia, Indonesia, Filipina dan utara Australia semasa El Niño berlaku. Cuaca yang lebih panas dan kering juga berlaku di tenggara Afrika, India dan utara Brazil. Cuaca lebih lembap pula berlaku di sepanjang pantai barat kawasan tropika Amerika Selatan dan pantai teluk di Amerika Utara seperti ditunjuk di dalam rajah di bawah.

Apakah impak yang tipikal di Malaysia?

Dengan kehadiran El Niño yang sederhana atau kuat, taburan hujan di Sabah dan Sarawak akan berada jauh di bawah paras purata semasa monsun barat daya (Jun-Ogos) dan monsun timur laut (November-Februari), sebaliknya di Semenanjung Malaysia taburan hujan adalah di bawah paras purata hanya semasa monsun barat daya (Jun-Ogos).

Keadaan El Niño yang lemah dikenalpasti memberi impak yang minimum kepada taburan hujan di Malaysia. Tambahan pula, taburan hujan di bawah dan atas paras purata boleh juga berlaku dalam tahun-tahun yang bukan El Niño/La Niña.

Source:

http://ms.wikipedia.org/wiki/El_Nino

Met Malaysia