KENYATAAN AKHBAR MAJLIS KESELAMATAN NEGARA MENGENAI SITUASI JEREBU SELURUH NEGARA

KENYATAAN AKHBAR SITUASI JEREBU

DI SELURUH NEGARA PADA 4 MAC 2014

1.        Berikutan keadaan cuaca yang panas dan kering pada ketika ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memantau secara dekat situasi semasa bersama-sama agensi berkaitan melalui Mesyuarat Kumpulan Kerja yang telah diaktifkan semenjak awal Februari 2014 bagi memantau perkembangan dan tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh setiap Kementerian/Jabatan/Agensi bagi mengurangkan risiko akibat daripada situasi kekurangan bekalan air dan berjerebu.

2.        MKN akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengatasi situasi semasa agar ianya terkawal dan tidak menjadi lebih teruk untuk memastikan kesejahteraan rakyat. Selaku agensi peneraju dalam pengurusan bencana negara, MKN akan menyelaras bersama-sama JAS, MetMalaysia, JBPM, dan lain-lain agensi bagi bertindak balas terhadap situasi ini.

3.        MetMalaysia memaklumkan bahawa negara sekarang berada pada fasa pertengahan Monsun Timur Laut. Cuaca panas dengan suhu purata di antara 34 hingga 36 darjah Celcius di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia sekarang mengakibatkan keadaan kering mengikut tafsiran meteorologi. Keadaan yang serupa turut berlaku kepada negara jiran di rantau Asia Tenggara seperti di Thailand dan Indonesia sehingga mengakibatkan Kerajaan di sana mengisytiharkan kemarau di beberapa wilayah di negara tersebut.  Menurut MetMalaysia lagi, keadaan cuaca dijangka akan menjadi lebih lembab mulai pertengahan bulan Mac dengan bermulanya Monsun Peralihan.

4.        Selain daripada isu bekalan air, keadaan cuaca panas dan kering telah menyebabkan peningkatan risiko kebakaran hutan dan pembakaran terbuka di rantau ini termasuklah di Malaysia sendiri.

5.        Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan bahawa beberapa kawasan telah merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) kurang sihat terutama di Lembah Kelang.  Keadaan buat masa ini masih lagi terkawal dengan hanya tujuh (7) kawasan mencatatkan IPU Tidak Sihat iaitu di Nilai, Banting, Kuala Selangor, Pelabuhan Kelang, Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur.  Manakala, lain-lain kawasan mencatatkan IPU pada keadaan Baik dan Sederhana.  Berikutan hujan yang berlaku hasil dari operasi pembenihan awan, bacaan IPU di beberapa stesen pencerapan juga telah merekodkan trendpenurunan.

6.        Keadaan berjerebu yang dialami pada masa ini adalah berpunca daripada pelepasan asap domestik hasil daripada pembakaran terbuka, kebakaran hutan, asap kenderaan dan aktiviti kilang.

7.        Ianya bukanlah disebabkan oleh jerebu rentas sempadan kerana Monsun Timur Laut masih lagi aktif di mana corak tiupan angin dari arah timur laut yang berlaku tidak memungkinkan asap menghala ke Semenanjung Malaysia.

8.        JAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri. Pihaknya turut mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (PTO) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut bagi mencegah dan mengawal sebarang punca kemerosotan kualiti udara dan jerebu.

9.        JAS akan memantau secara berterusan situasi berjerebu dan telah menggerakkan peralatan pencerapan IPU mudah alih ke kawasan-kawasan yang tidak mempunyai stesen pemantauan kualiti udara bagi membolehkan pemantauan secara lebih menyeluruh.

10.     Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan bahawa mereka telah menerima lebih daripada 7,000 panggilan mengenai kebakaran pada bulan Februari 2014 termasuk kebakaran hutan tanah gambut. Pihak JBPM dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang bersama-sama melaksanakan aktiviti pemadaman kebakaran hutan.

11.     Usaha untuk melakukan proses pembenihan awan telah dirancang sejak awal Februari 2014, namun, berikutan ketiadaan awan yang sesuai, proses tidak dapat dilakukan.  Walau bagaimanapun, pada  3 Mac 2014 pembenihan awan telah dilakukan di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan diteruskan lagi pada 4 Mac 2014. Operasi akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bergantung kepada kesesuaian keadaan atmosfera sehinggalah masalah bekalan air dan jerebu selesai.

12.     Sebagai persediaan menghadapi peningkatan penyakit berkaitan pernafasan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan bekalan ubat-ubatan, peralatan, dan aset yang mencukupi di Hospital-Hospital dan Klinik-Klinik Kerajaan terutamanya di kawasan yang mengalami penurunan kualiti udara. Orang ramai terutamanya golongan yang berisiko seperti pesakit asma, kanak-kanak, dan warga tua dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik berhampiran sekiranya menghadapi sebarang masalah pernafasan.

13.     Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan arahan kepada pihak pengurusan sekolah-sekolah supaya mengurangkan aktiviti luar kelas sebagai langkah mengelakkan peningkatan masalah kesihatan murid-murid sekolah.

14.     Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar/sukan/riadah, perbanyakkan minum air dan memakai topeng muka bagi golongan berisiko.

15.     Orang ramai juga dimohon untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa  dengan tidak melakukan pembakaran terbuka serta melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada JBPM di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Source