Berita: Antena Jatuh- Umno Pulau Pinang Serah Kepada Pihak Berkuasa Jalankan Siasatan

Bernama, 13 Jun 2013

GEORGE TOWN, 13 Jun (Bernama) — Umno Pulau Pinang menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian pemancar telekomunikasi yang jatuh dalam kejadian angin kencang di Jalan Macalister, di sini hari Khamis.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pihaknya akan memberi kerjasama kepada anggota keselamatan bagi memastikan keselamatan Bangunan Umno.

“Kita akan bincang macam mana nak selesaikan masalah ini. Kalau pihak Bomba dan Penyelamat kata kena tutup sementara waktu, tak ada masalah bagi Umno. Kita akan ikut semua arahan yang dikeluarkan pihak polis dan bomba,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, malam ini.

Dalam kejadian pada 6.45 petang itu, pemancar telekomunikasi yang terletak di atas Bangunan Umno di Jalan Macalister di sini jatuh dan menghempap tujuh kenderaan dalam kejadian ribut dan angin kencang yang berlaku di kawasan itu.

Sembilan orang cedera, seorang daripadanya parah dalam kejadian angin kencang yang melanda 21 kawasan di sekitar Pulau Pinang.

Source