PERMULAAN MONSUN BARAT DAYA 2013

Musim Monsun Barat Daya telah bermula di Malaysia pada 15 Mei 2013 dan dijangka berterusan sehingga September 2013 .
Monsun Barat Daya dicirikan oleh angin permukaan yang bertiup secara tetap dari arah barat daya. Semasa musim ini, kebanyakan kawasan di negara kita akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan berbanding hari hujan dan seterusnya agak kering berbanding Monsun Timur Laut.
Pada masa yang sama litupan awan berkurangan dan tempoh penerimaan cahaya matahari menjadi lebih lama menyebabkan suhu persekitaran meningkat.
Walau bagaimanapun, kawasan persisiran pantai di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung kadangkala akan mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin langkisau yang kuat terutamanya pada waktu subuh dan awal pagi yang disebabkan oleh pembentukan garis badai di Selat Melaka. Kawasan pedalaman Semenanjung dijangka mengalami hujan dan ribut petir di satu dua tempat pada lewat petang dan senja.
Pada musim ini juga akan berlaku peningkatan frekuensi aktiviti ribut tropika di barat Lautan Pasifik dan utara Laut China Selatan dan menyebabkan kawasan Kudat dan Pantai Barat Sabah mengalami angin kencang berserta hujan lebat.
Manakala di Sarawak secara relatifnya agak kering di semua Bahagian. Tinjauan keadaan cuaca sepanjang musim ini boleh diperolehi melalui pautan: http://www.met.gov.my/images/Docs/laporan_monsun.pdf
Disediakan oleh:
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia)
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
17 Mei 2013