Berita: Jumlah mangsa banjir di Kelantan kini 3,027 orang

Berita Harian, 25 Dec 2012

KOTA BHARU: Portal rasmi banjir negeri melaporkan sehingga jam 5 petang tadi, mangsa banjir yang ditempatkan di 36 pusat pemindahan di negeri ini ialah seramai 3,027 orang.

Jumlah berkenaan ialah dari tujuh jajahan yang membabitkan seramai 835 keluarga, dengan Kota Bharu membuka lima pusat pemindahan, menempatkan 259 orang dari 64 keluarga.

Manakala Kuala Krai, membuka tiga pusat pemindahan bagi menempatkan 355 orang dari 91 keluarga; Machang, tiga pusat pemindahan dengan 47 orang (11 keluarga) dan Pasir Mas, 16 pusat pemindahan, 1,887 orang (553 keluarga).

Selain itu, jajahan Pasir Puteh membuka dua pusat pemindahan bagi menempatkan 245 orang dari 51 keluarga, Tanah Merah, lima pusat pemindahan dengan 217 orang (61 keluarga) dan Tumpat, dua pusat pemindahan dengan 17 orang (empat keluarga).

Paras air Sungai Golok di Jenob Tanah Merah masih melepasi paras bahaya iaitu 24.19 meter dan di Rantau Panjang, 10.47 meter (mengatasi paras bahaya).

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JumlahmangsabanjirdiKelantankini3_027orang/Article/