Berita: Banjir di Melaka, Selangor kembali buruk

Berita Harian, 20 Nov 2012

Kuala Lumpur: Hujan lebat pada sebelah petang menyebabkan keadaan banjir di Selangor dan Melaka kembali buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat, malam tadi.

Seramai 281 orang di Melaka dipindahkan malam tadi, berbanding sembilan orang pada sebelah petang, manakala di Selangor jumlah mangsa banjir meningkat kepada 84 orang berbanding 27 mangsa sebelumnya.

Laman portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan, lima pusat pemindahan dibuka di Melaka iaitu Balairaya Kampung Pancur, Alor Gajah; Dewan Masjid Ar-Rashidin, Alor Gajah; Balai Raya Belimbing Dalam, Alor Gajah; Balai Raya Kampung Pegoh, Alor Gajah dan Dewan Serbaguna Bunga Tanjung, Tanjung Minyak, Melaka Tengah.

Di Selangor, tiga pusat pemindahan dibuka di daerah Kuala Langat iaitu di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Dewan Genting Sanyen dan Dewan Orang Ramai Bukit Changgang, Kuala Langat.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Sarawak sehingga jam 9 malam tadi kekal lima orang.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula meminta penduduk di kawasan sekitar Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat berwaspada berikutan paras air di Sungai itu kini melebihi paras amaran.

Turut mencatat aras melebihi paras amaran ialah Sungai Repoh di Kampung Repoh, Kangar; Sungai Serting di Serting Ulu, Jempol, Negeri Sembilan; dan Sungai Kerian di Mahang, Kulim, Kedah.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BanjirdiMelaka_Selangorkembaliburuk/Article