Berita: Banjir tiga negeri semakin pulih

Berita Harian, 17 Nov 2012

Kuala Lumpur: Banjir di Selangor, Perak dan Sarawak bertambah baik semalam dengan jumlah mangsa dipindahkan semakin berkurangan.

Ia berikutan cuaca semakin baik sejak tiga hari lalu, menyebabkan paras air beberapa sungai di negeri terbabit turun ke paras selamat.

Maklumat Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) setakat jam 7 petang semalam, menunjukkan 971 mangsa masih berada di enam pusat pemindahan di tiga negeri terbabit dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi seramai 930 mangsa di empat pusat pemindahan sekitar daerah Kuala Langat.

Mereka membabitkan 760 mangsa daripada 192 keluarga yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Dewan Bukit Tadom (86), Dewan Genting Sanyen (58) dan Dewan Orang Ramai Bukit Changgang (26).

Di PERAK, hanya satu pusat pemindahan dibuka di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai, Manjung yang menempatkan 36 mangsa daripada sembilan keluarga, manakala di Sarawak, banjir di Marudi juga bertambah baik apabila laluan di Kilometer 5 Jalan Marudi-Miri sudah dibuka kepada semua kenderaan, petang semalam.

Bagaimanapun, lima mangsa daripada satu keluarga yang dipindahkan ke Dewan Suarah Marudi beberapa hari lalu masih belum dibenarkan pulang berikutan banjir di kawasan itu belum pulih.

Di NEGERI SEMBILAN, amaran berjaga-jaga dikeluarkan kepada penduduk Titian Bintangor di Rembau berikutan air Sungai Rembau melebihi paras amaran semalam. Amaran sama turut dikeluarkan kepada penduduk Kuala Badong di Kuala Selangor selepas air Sungai Selangor meningkat ke paras 4.7 meter.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Banjirtiganegerisemakinpulih/Article