Berita: Banjir empat negeri makin buruk

Berita Harian, 6 November 2012

Kuala Lumpur: Banjir di empat negeri – Selangor, Johor, Perak dan Melaka bertambah buruk semalam, dengan 3,556 mangsa dipindahkan ke 33 pusat pemindahan.

Di Selangor, sekurang-kurangnya 10 kampung dan taman perumahan di Dengkil dan kawasan sekitarnya yang sebelum ini hanya menghadapi banjir kilat, kini terjejas teruk apabila dinaiki air antara satu hingga dua meter. Kawasan berkenaan ialah Kampung Sri Tanjung, Kampung Kelinsing, Kampung Cemperai, Taman Amenis, Taman Emas, Taman Kristal 2, Taman Permata, Taman Baiduri, Taman Sri Tanjung dan Taman Delima.

Berada pada paras bahaya Dua kawasan lain yang sering dilanda banjir ialah Kampung Semarang dan Kampung Revolusi Hijau.

Sungai Langat malam tadi mencatatkan paras bahaya 9.52 meter di stesen pengukur Kampung Sungai Labu, Salak Tinggi, berbanding tujuh meter normal.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, ketika dihubungi berkata pihaknya menempatkan anggota di kawasan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Katanya, pemantauan turut dilakukan di beberapa lokasi lain sekitarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sehingga jam 7.30 malam tadi, 1,238 penduduk dipindahkan ke lapan pusat pemindahan di Dengkil dan Sepang berikutan paras air Sungai Langat yang terus meningkat akibat hujan lebat sejak tengah hari kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Marsum Paing, berkata banjir di daerah itu dijangka bertambah buruk selepas paras air Sungai Langat tidak surut sehingga petang semalam.

 

Tambak tebing sungai

Bercakap kepada media selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Dengkil, di sini semalam, beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang mendalamkan serta menambak tebing Sungai Langat sebagai penyelesaian jangka panjang.

Di JOHOR, 2,042 mangsa banjir dipindahkan ke 21 pusat pemindahan sehingga jam 8 malam tadi manakala beberapa pusat pemindahan baru sedia untuk dibuka bagi menghadapi keadaan yang dijangka bertambah buruk.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor berkata, kawasan terjejas teruk ialah Batu Pahat dengan 14 pusat pemindahan dibuka sehingga kini termasuk dua di Kluang dan satu di Ledang.

“Kawasan dinaiki air termasuk Kampung Baru Sri Gading, Kampung Sri Gading dan Kampung Jawa Parit Kuari di Batu Pahat, Kampung Sialang (Ledang), Kampung Sungai Linau dan Kampung Kolam Air (Kluang),” katanya.

 

Banjir sedalam satu meter

Di PERAK, 258 mangsa banjir daripada 70 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Surau Jalan Wak Siam Selabak dan Dewan Serbaguna Sungai Manik Chikus, Teluk Intan selepas kediaman dinaiki air 0.5 hingga satu meter sejak Sabtu lalu.

Laluan utama di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Chepor Dalam yang menghubungkan Taman Bertuah, Desa Seri Chemor dan Batu 6 terputus disebabkan tanah mendap selepas air Sungai Klebang melimpah.

Di MELAKA, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri, Mejar Jafri Mohamed, berkata 115 mangsa dari 27 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Tehel, Jasin.

Katanya, 108 orang ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Tehel manakala tiga di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Kesang Barat.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Banjirempatnegerimakinburuk/Article/artikel