Berita: Pahang Bersedia Hadapi Banjir

MKN Putrajaya, 22 Okt. 2012

KUANTAN, 22 Okt. Mesyuarat Persiapan Menghadapi Musim Tengkujuh yang telah diadakan di sini hari ini telah menyatakan kesediaan agensi pengurusan bencana negeri tersebut terhadap kemungkinan kejadian bencana banjir pada musim tengkujuh kali ini. Negeri Pahang dijangka akan dilanda Monsoon Timur Laut bermula pada bulan Disember 2012 ini dan akan berlarutan sehingga awal 2013.

YBhg. Dato’ Sri Muhammad Safian bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dalam kenyataannya telah menyebut bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta sebagai persiapan menghadapi bencana tersebut dan jumlah tersebut akan ditambah sekiranya terdapat keperluan yang mendesak. Peruntukan tersebut akan digunakan bagi mempersiapkan 87 buah pangkalan hadapan dengan bekalan makanan dan barangan bantuan yang lain serta 572 pusat pemindahan yang akan digunakan sebagai penempatan sementara mangsa-mangsa banjir.

Bagi memastikan persediaan menghadapi bencana banjir ini benar-benar menepati jangkaan, mesyuarat berkenaan juga telah memutuskan supaya cuti kesemua Pegawai dan kakitangan agensi pengurusan bencana Negeri dibekukan bermula pada 1 Disember ini sehingga 15 Januari 2013. Walau bagaimanapun, notis pembekuan cuti ini adalah tertakluk kepada keadaan banjir  yang berkemungkinan boleh dikuatkuasakan lebih awal daripada jangkaan.

Orang ramai dinasihat supaya berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan berlakunya banjir di kawasan sekeliling serta disaran untuk membuat persiapan awal. Maklumat mengenai perkembangan bencana ini boleh didapati melalui Portal Banjir MKN, laman sosial Facebook  dan Twitter MKN selain daripada sumber Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta saluran maklumat lain yang disiar melalui televisyen dan radio.

Source: http://portalbanjir.mkn.gov.my/?q=node/2324